Pages

Followers

Tuesday, May 11, 2010


KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Sebagai pengguna, anda mempunyai banyak pilihan dan patut tahu bagaimana hendak membuat pilihan yang bijak dan tepat.

Kerajaan dan persatuan pengguna telah memainkan peranan aktif dalam merangka dan melaksanakan program kepenggunaan bagi meningkatkan kesedaran mengenai hak pengguna.

Ini lebih-lebih lagi dalam era globalisasi dan pasaran terbuka yang kian pesat berkembang.

Pelbagai langkah sudah diambil untuk melindungi kepentingan pengguna di negara ini, termasuk penggubalan Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Penubuhan Tribunal Tuntutan Pengguna bagi menangani masalah mereka.

Persekutuan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) sering melancarkan kempen kesedaran pengguna di seluruh negara bagi memupuk kesedaran orang ramai mengenai lapan hak pengguna sejagat.

Namun di sebalik kempen kesedaran itu, adakah rakyat Malaysia memahami sepenuhnya lapan hak pengguna itu iaitu -- hak mendapatkan keselamatan, penerangan, membuat pilihan, ganti rugi, pendengaran, keperluan asas, alam sekitar yang sihat dan pendidikan pengguna.

Persoalan seterusnya, setelah memahami hak pengguna, adakah pengguna peka dan mengambil tindakan sewajarnya jika berdepan dengan masalah berkaitan penipuan, penyelewengan dan penindasan yang didalangi pelbagai pihak terutamanya peniaga dan pengeluar?

HAK-HAK PENGGUNA

Hak pengguna yang pertama, hak mendapatkan keselamatan ditakrifkan sebagai pengguna dilindungi daripada pemasaran barangan atau perkhidmatan yang boleh memudaratkan kesihatan dan kehidupan.

Contoh perkhidmatan yang keselamatannya dicurigai, antaranya ialah pembuatan dan penggunaan pelbagai bahan kimia dalam makanan, racun makhluk perosak, ubat-ubatan dan kenderaan bermotor.

Justeru, bagi melindungi pengguna daripada amalan yang memudaratkan kesihatan, Parlimen meluluskan beberapa akta seperti Akta Makanan 1983 (Akta 281), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Akta Racun Makhluk Perosak 1974.

Bagi memastikan semua ubat di pasaran adalah selamat, mujarab dan bermutu, akta-akta seperti Akta Pendaftaran Farmasi 1951, Akta Jualan Dadah 1952, Akta Racun dan Akta Ubat (Iklan dan Jualan) 1956 turut digubal.

Malah, setiap ubat yang dijual di Malaysia wajib didaftarkan dahulu dengan Kementerian Kesihatan dan semua ubat hanya boleh diiklankan dengan kebenaran kementerian itu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

Hak mendapat penerangan pula adalah keperluan untuk membekalkan para pengguna dengan maklumat yang tepat, terkini dan mencukupi bagi membolehkan mereka membuat pemilihan terbaik dan memastikan penggunaan yang sempurna dan lestari serta selamat bagi alam sekitar.

Akta Perihal Dagangan 1972, misalnya membolehkan keterangan yang palsu atau mengelirukan terhadap sesuatu produk sebagai suatu kesalahan yang boleh dibawa ke muka pengadilan.

AKTA-AKTA

Akta-akta lain termasuklah Akta Kawalan Harga (Arahan Melabel) 1980 yang mewajibkan pengilang dan pengeluar memberi maklumat asas pada pembungkusan makanan yang dikilangkan seperti kandungan, jenis makanan, jumlah kandungan dan berat minimum manakala Akta Pembangunan Perumahan pula menetapkan syarat-syarat bagi pengiklanan projek perumahan.

Hak mendapat pilihan pula merujuk kepada isu kemampuan untuk memilih antara barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan. Ia bererti suatu jaminan agar jumlah barangan dan perkhidmatan di pasaran mencukupi dengan harga yang berpatutan.

Antara undang-undang yang menjamin pengguna bebas untuk membuat pilihan ialah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Pindaan 1973), Akta Kawalan Harga 1946, Akta Jualan Barangan 1957.

Akta Kawalan Bekalan 1961, misalnya memastikan bekalan sentiasa mencukupi di pasaran dan menghukum pihak yang terbabit dalam aktiviti menyorok barangan keperluan.

Hak mendapatkan ganti rugi pula melayakkan pengguna mendapat pampasan yang adil dan berpatutan berikutan barangan atau perkhidmatan yang dibeli didapati tidak seperti yang dijanjikan, cacat atau tidak berfungsi.

TRIBUNAL TUNTUTAN PENGGUNA

Untuk itu, Tribunal Tuntutan Pengguna ditubuhkan yang membolehkan pengguna yang mengalami kerugian membuat tuntutan ganti rugi. Penyelesaian akan cuba dilakukan dalam tempoh 60 hari dan had nilai yang boleh dirujuk ialah tidak melebihi RM25,000 manakala belanja perbicaraan dalam tribunal adalah percuma.

Setiap pengguna wajar merebut peluang menggunakan khidmat tribunal ini apabila dirundung masalah mengenai sesuatu barangan atau perkhidmatan sama ada daripada pihak swasta mahupun kerajaan.

Hak mendapatkan pendengaran pula bermakna pengguna berhak mengadu kepada pihak berkenaan untuk mendapatkan pembelaan dan jalan penyelesaian.

Sehubungan itu, kerajaan telah melantik para pemimpin masyarakat terkemuka untuk menduduki majlis-majlis perundingan dan tindakan yang ditubuhkan. Misalnya, pertubuhan-pertubuhan seperti Fomca, Cuepacs, MTUC dan sebagainya mempunyai wakil dalam Majlis Perundingan Ekonomi negara (MAPEN 2) yang dipengerusikan Perdana Menteri sendiri.

Hak mendapatkan keperluan asas pula bererti hak untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan yang perlu bagi meneruskan kehidupan iaitu makanan yang mencukupi, pakaian, tempat tinggal, kesihatan dan sanitasi.

Untuk menjamin hak pengguna berhubung bekalan makanan yang mencukupi, selamat dan harganya berpatutan, beberapa undang-undang digubal dan dilaksanakan.

Antaranya ialah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Pindaan 1973), Akta Timbang Sukat 1972, Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Bagi melindungi pengguna daripada penipuan pemaju perumahan yang tidak bertanggungjawab, Akta Pemaju Perumahan (Mengawal dan Melesen) digubal dan dikuatkuasakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Selain itu, Akta Pembangunan Perumahan turut memberi lebih kuasa kepada menteri untuk melindungi para pembeli rumah kerana di bawah akta ini juga ditubuhkan satu Tribunal Pembeli Rumah.

Hak mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat turut melibatkan usaha mendapatkan perlindungan daripada masalah persekitaran kerana persekitaran yang sihat dan selamat mampu meningkatkan mutu kehidupan pengguna.

Untuk menangani masalah pencemaran, antara akta-akta yang dikuatkuasakan ialah Akta Taman Negara 1980, Akta Perikanan 1985, Akta Perhutanan 1940 dan Akta Perlindungan Hidupan Liar 1954.

PENDIDIKAN PENGGUNA

Yang terakhir ialah hak mendapatkan pendidikan pengguna yang bermaksud hak pengguna untuk membekalkan dirinya dengan pengetahuan dan kemahiran supaya menjadi seorang pengguna yang bestari dan bermaklumat sepanjang hayat.

Untuk melahirkan pengguna yang mengamalkan gaya hidup lestari, beberapa institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) termasuk maktab-maktab perguruan kini ada menawarkan kursus pendidikan pengguna.

Antara IPTA itu ialah Universiti Malaya yang menawarkan subjek 'Perundangan Pengguna', Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan subjek 'Isu Kepenggunaan dan Alam Sekitar', malah Universiti Sabah turut menawarkan kursus 'Pemasaran dan Kepenggunaan'.

Kelab-kelab pengguna yang ditubuhkan di beberapa buah sekolah menengah juga turut melibatkan kegiatan pendidikan pengguna.

Usaha dan penglibatan proaktif FOMCA dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) serta beberapa persatuan pengguna lain dalam menyuburkan pendidikan pengguna di kalangan masyarakat wajar diberi pujian.

Hakikatnya, memiliki tahap kepekaan yang tinggi terhadap hak pengguna penting untuk membolehkan mereka mengamalkan gaya hidup lestari yang juga mampu melindungi diri dan keluarga mereka daripada pelbagai ragam muslihat dunia perniagaan.

Layarilah laman web http://www.kpdnhep.gov.my dan http://www.fomca.org.my untuk memperkayakan minda anda dengan isu-isu kepenggunaan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment