Pages

Followers

Tuesday, May 11, 2010


KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Sebagai pengguna, anda mempunyai banyak pilihan dan patut tahu bagaimana hendak membuat pilihan yang bijak dan tepat.

Kerajaan dan persatuan pengguna telah memainkan peranan aktif dalam merangka dan melaksanakan program kepenggunaan bagi meningkatkan kesedaran mengenai hak pengguna.

Ini lebih-lebih lagi dalam era globalisasi dan pasaran terbuka yang kian pesat berkembang.

Pelbagai langkah sudah diambil untuk melindungi kepentingan pengguna di negara ini, termasuk penggubalan Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Penubuhan Tribunal Tuntutan Pengguna bagi menangani masalah mereka.

Persekutuan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) sering melancarkan kempen kesedaran pengguna di seluruh negara bagi memupuk kesedaran orang ramai mengenai lapan hak pengguna sejagat.

Namun di sebalik kempen kesedaran itu, adakah rakyat Malaysia memahami sepenuhnya lapan hak pengguna itu iaitu -- hak mendapatkan keselamatan, penerangan, membuat pilihan, ganti rugi, pendengaran, keperluan asas, alam sekitar yang sihat dan pendidikan pengguna.

Persoalan seterusnya, setelah memahami hak pengguna, adakah pengguna peka dan mengambil tindakan sewajarnya jika berdepan dengan masalah berkaitan penipuan, penyelewengan dan penindasan yang didalangi pelbagai pihak terutamanya peniaga dan pengeluar?

HAK-HAK PENGGUNA

Hak pengguna yang pertama, hak mendapatkan keselamatan ditakrifkan sebagai pengguna dilindungi daripada pemasaran barangan atau perkhidmatan yang boleh memudaratkan kesihatan dan kehidupan.

Contoh perkhidmatan yang keselamatannya dicurigai, antaranya ialah pembuatan dan penggunaan pelbagai bahan kimia dalam makanan, racun makhluk perosak, ubat-ubatan dan kenderaan bermotor.

Justeru, bagi melindungi pengguna daripada amalan yang memudaratkan kesihatan, Parlimen meluluskan beberapa akta seperti Akta Makanan 1983 (Akta 281), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Akta Racun Makhluk Perosak 1974.

Bagi memastikan semua ubat di pasaran adalah selamat, mujarab dan bermutu, akta-akta seperti Akta Pendaftaran Farmasi 1951, Akta Jualan Dadah 1952, Akta Racun dan Akta Ubat (Iklan dan Jualan) 1956 turut digubal.

Malah, setiap ubat yang dijual di Malaysia wajib didaftarkan dahulu dengan Kementerian Kesihatan dan semua ubat hanya boleh diiklankan dengan kebenaran kementerian itu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

Hak mendapat penerangan pula adalah keperluan untuk membekalkan para pengguna dengan maklumat yang tepat, terkini dan mencukupi bagi membolehkan mereka membuat pemilihan terbaik dan memastikan penggunaan yang sempurna dan lestari serta selamat bagi alam sekitar.

Akta Perihal Dagangan 1972, misalnya membolehkan keterangan yang palsu atau mengelirukan terhadap sesuatu produk sebagai suatu kesalahan yang boleh dibawa ke muka pengadilan.

AKTA-AKTA

Akta-akta lain termasuklah Akta Kawalan Harga (Arahan Melabel) 1980 yang mewajibkan pengilang dan pengeluar memberi maklumat asas pada pembungkusan makanan yang dikilangkan seperti kandungan, jenis makanan, jumlah kandungan dan berat minimum manakala Akta Pembangunan Perumahan pula menetapkan syarat-syarat bagi pengiklanan projek perumahan.

Hak mendapat pilihan pula merujuk kepada isu kemampuan untuk memilih antara barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan. Ia bererti suatu jaminan agar jumlah barangan dan perkhidmatan di pasaran mencukupi dengan harga yang berpatutan.

Antara undang-undang yang menjamin pengguna bebas untuk membuat pilihan ialah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Pindaan 1973), Akta Kawalan Harga 1946, Akta Jualan Barangan 1957.

Akta Kawalan Bekalan 1961, misalnya memastikan bekalan sentiasa mencukupi di pasaran dan menghukum pihak yang terbabit dalam aktiviti menyorok barangan keperluan.

Hak mendapatkan ganti rugi pula melayakkan pengguna mendapat pampasan yang adil dan berpatutan berikutan barangan atau perkhidmatan yang dibeli didapati tidak seperti yang dijanjikan, cacat atau tidak berfungsi.

TRIBUNAL TUNTUTAN PENGGUNA

Untuk itu, Tribunal Tuntutan Pengguna ditubuhkan yang membolehkan pengguna yang mengalami kerugian membuat tuntutan ganti rugi. Penyelesaian akan cuba dilakukan dalam tempoh 60 hari dan had nilai yang boleh dirujuk ialah tidak melebihi RM25,000 manakala belanja perbicaraan dalam tribunal adalah percuma.

Setiap pengguna wajar merebut peluang menggunakan khidmat tribunal ini apabila dirundung masalah mengenai sesuatu barangan atau perkhidmatan sama ada daripada pihak swasta mahupun kerajaan.

Hak mendapatkan pendengaran pula bermakna pengguna berhak mengadu kepada pihak berkenaan untuk mendapatkan pembelaan dan jalan penyelesaian.

Sehubungan itu, kerajaan telah melantik para pemimpin masyarakat terkemuka untuk menduduki majlis-majlis perundingan dan tindakan yang ditubuhkan. Misalnya, pertubuhan-pertubuhan seperti Fomca, Cuepacs, MTUC dan sebagainya mempunyai wakil dalam Majlis Perundingan Ekonomi negara (MAPEN 2) yang dipengerusikan Perdana Menteri sendiri.

Hak mendapatkan keperluan asas pula bererti hak untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan yang perlu bagi meneruskan kehidupan iaitu makanan yang mencukupi, pakaian, tempat tinggal, kesihatan dan sanitasi.

Untuk menjamin hak pengguna berhubung bekalan makanan yang mencukupi, selamat dan harganya berpatutan, beberapa undang-undang digubal dan dilaksanakan.

Antaranya ialah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Pindaan 1973), Akta Timbang Sukat 1972, Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Bagi melindungi pengguna daripada penipuan pemaju perumahan yang tidak bertanggungjawab, Akta Pemaju Perumahan (Mengawal dan Melesen) digubal dan dikuatkuasakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Selain itu, Akta Pembangunan Perumahan turut memberi lebih kuasa kepada menteri untuk melindungi para pembeli rumah kerana di bawah akta ini juga ditubuhkan satu Tribunal Pembeli Rumah.

Hak mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat turut melibatkan usaha mendapatkan perlindungan daripada masalah persekitaran kerana persekitaran yang sihat dan selamat mampu meningkatkan mutu kehidupan pengguna.

Untuk menangani masalah pencemaran, antara akta-akta yang dikuatkuasakan ialah Akta Taman Negara 1980, Akta Perikanan 1985, Akta Perhutanan 1940 dan Akta Perlindungan Hidupan Liar 1954.

PENDIDIKAN PENGGUNA

Yang terakhir ialah hak mendapatkan pendidikan pengguna yang bermaksud hak pengguna untuk membekalkan dirinya dengan pengetahuan dan kemahiran supaya menjadi seorang pengguna yang bestari dan bermaklumat sepanjang hayat.

Untuk melahirkan pengguna yang mengamalkan gaya hidup lestari, beberapa institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) termasuk maktab-maktab perguruan kini ada menawarkan kursus pendidikan pengguna.

Antara IPTA itu ialah Universiti Malaya yang menawarkan subjek 'Perundangan Pengguna', Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan subjek 'Isu Kepenggunaan dan Alam Sekitar', malah Universiti Sabah turut menawarkan kursus 'Pemasaran dan Kepenggunaan'.

Kelab-kelab pengguna yang ditubuhkan di beberapa buah sekolah menengah juga turut melibatkan kegiatan pendidikan pengguna.

Usaha dan penglibatan proaktif FOMCA dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) serta beberapa persatuan pengguna lain dalam menyuburkan pendidikan pengguna di kalangan masyarakat wajar diberi pujian.

Hakikatnya, memiliki tahap kepekaan yang tinggi terhadap hak pengguna penting untuk membolehkan mereka mengamalkan gaya hidup lestari yang juga mampu melindungi diri dan keluarga mereka daripada pelbagai ragam muslihat dunia perniagaan.

Layarilah laman web http://www.kpdnhep.gov.my dan http://www.fomca.org.my untuk memperkayakan minda anda dengan isu-isu kepenggunaan.

-- BERNAMA

Hak-hak Pengguna

Pengguna yang bertanggungjawab adalah pengguna yang menyedari hak-haknya sebagai pengguna dan bertindak dengan penuh bijaksana dan bertanggungjawab. Lapan hak pengguna yang perlu diketahui dan difahami ialah:

Hak untuk mendapatkan keperluan asas
Pengguna berhak mendapatkan barang dan perkhidmatan asas bagi menjamin kehidupan yang memuaskan di dunia moden ini. Keperluan asas ini termasuk makanan yang mencukupi dan selamat, pakaian, perumahan, kemudahan kesihatan dan pendidikan, dan sebagainya

Hak untuk mendapatkan keselamatan
Pengguna dilindungi daripada pemerosesan dan pemasaran barang serta perkhidmatan yang boleh membahayakan pengguna.

Hak untuk mendapatkan maklumat
Pengguna mesti diberi maklumat yang mencukupi dan tepat untuk memudahkannya membuat keputusan yang bijak. Pengguna hendaklah dilindungi juga daripada dakyah pengiklanan, pelabelan dan amalan lain yang palsu, penipuan dan penyelewengan.

Hak untuk membuat pilihan
Pengguna dipastikan mendapat maklumat langsung mengenai pelbagai keluaran dan perkhidmatan. Pengguna perlu diberikan penerangan yang dapat memberi pilihan dalam membuat keputusan. Perlu ada jaminan bagi menentukan mutu dan perkhidmatan memuaskan dengan harga yang berpatutan.

Hak untuk bersuara
Ini bagi memastikan kepentingan pengguna mendapat pertimbangan yang sewajarnya dalam penggubalan dasar kerajaan dan tindakan yang cepat serta saksama daripada pentadbiran pengadilan.

Hak untuk mendapatkan ganti rugi
Pengguna berhak mendapat penyelesaian untuk pembelian keluaran yang cacat atau berbahaya ataupun perihal dagangannya yang `mengelirukan' serta pampasan bagi perkhidmatan yang menyeleweng atau tidak menepati perjanjian.
Ganti rugi harus diberi bagi keluaran atau perkhidmatan yang mengakibatkan kecederaan kepada penggunanya yang menggunakan keluaran atau perkhidmatan itu mengikut arahan pengeluar. Ganti rugi juga wajib diberikan kepada pengguna yang menjadi mangsa akibat kecuaian majikan.

Hak untuk mendapatkan pendidikan pengguna
Pengguna berhak mendapat pendidikan pengguna yang mencukupi dan berterusan. Ini kerana sistem pendidikan lazimnya tidak memberi perhatian yang sewajarnya kepada pendidikan pengguna. Falsafah pendidikan pengguna masa ini lebih cenderung melatih pelajar menjadi pekerja atau majikan yang berkesan dan kurang melatih bagaimana hendak menjadi pengguna yang bijak.

Hak untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat
Pengguna berhak hidup dan bekerja dalam alam sekitar yang bersih dan sihat serta bebas daripada sebarang keadaan yang berbahaya. Hak ini diperjuangkan oleh pengguna kerana kadar pencemaran kian meningkat dan adanya unsur alam semula jadi yang semakin pupus atau dimusnahkan.

Terakhir dikemaskini ( Thursday, 27 August 2009 )

Wednesday, May 5, 2010

program halal haram







Pada bulan mac yang lalu admin bersama majlis permuafakatan asrama smka simpang lima dan BADAR smkasl telah mengadakan ceramah halal dan haram serta ceramah palestin..semua pelajar asrama lelaki dan perempuan telah berkumpul di surau putera bermula dari solat maghrib..setelah itu majlis di sambung oleh ceramah bahagian pertama bertajuk "palestin" yang disampaikan oleh exco badar lujnah usrah, saudara ikwan zaidi.. sejam berlalu majlis di teruskan lagi dengan ceramah bahagian kedua bertajuk "halal haram" yang disampaikan oleh admin sendiri yang merupakan ketua pelajar smka simpang lima dengan diselangi nasyid palestin sebagai lagu tema yang dinasyidkan bersama-sama..program ini dirancang bagi meningkatkan kesedaran para pelajar tentang isu makanan halal dan perkaitannya dengan pembentukan sahsiah pelajar.. dan berkaitan dengannya ialah isu palestin yang sebenarnya dekat dihati kita semua sebagai umat islam.. kebanyakan produk yang dihasilkan diluar negara terutama negara yahudi tidak disahkan halal dan akibatnya banyak pengguna terpedaya..wang yang mereka dapat dari hasil jualan barangan mereka, digunakan untuk membedil palestin.. selain itu admin dalam ceramahnya juga mendedahkan barangan tempatan yang tidak disahkan halalnya malahan berbagai kaedah pengeliruan yang digunakan penjual telah dibongkarkan dalam ceramah malam itu tersebut..maklumat dari badan-badan bukan kerajaan dan persatuan pengguna seperti PPIM,FOMCA dan lain-lain lagi digunakan sepenuhnya bagi mendedahkan kepada semua pelajar mengenai hak mereka mendapatkan barangan halal dan bermutu serta hak-hak lain sebagai pengguna..

Ceramah Pengguna Bijak








Pada 5hb may yang lalu SMKA Simpang Lima telah menjemput FOMCA bagi memberi ceramah kepenggunaan kepada semua warga sekolah, seperti katanya "hari ini ilmu kepenggunaan bukan lagi suatu pilihan tetapi ia merupakan suatu keperluan"....ceramah disampaikan oleh Siti Rohayu bt Zakaria yang merupakan ketua pegawai operasi kempen 3k. Beliau yang hadir bersama beberapa rakannya dengan menaiki satu kereta menunjukkan sikap pengguna bijak pada dirinya..maknanya tak lah mereka tu cakap-cakap saja tapi sebenarnya mereka telah menjadi dan sedang menjadi seorang pengguna bijak dan perlu semua dari kita contohi.. gaya ceramahnya yang disampaikan secara santai dan bersahaja mejadikan pelajar berasa selesa untuk mendengar dan memberi respon.. ialah waktu 2.00 ke 3.00 petang pelajar biasanya akan tertidur jika ceramah biasa.. antara isi yang boleh saya kongsi disini dari ceramah beliau ialah kita sebagai pengguna perlu sedar dan ada tanggungjawab untuk diri kita sendiri sebenarnya..

Monday, May 3, 2010














  • Tabiat Pengguna Wanita:
    • Pancaindera dipengaruhi.
    • Gemar kemudahan/keselesaan.
    • Yakin yang mahal bermutu tinggi.
    • Mudah dipedaya dengan muslihat.
    • Suka dibimbing buat keputusan.
    • Suka gaya hidup "mewah".
    • Suka memiliki barang berlainan.
    • Ikuti pembelian atas taraf.
    • Sukar tolak tawaran istimewa.
    • Baik dalam membuat perbandingan.
  • Tabiat Pengguna Lelaki:
    • Dipengaruhi rakan / imej.
    • Elak jualan besar/murah/sesak.
    • Cenderung beli di tempat sama.
    • Cepat, tidak suka cerewet.
    • Kurang tawar menawar.
    • Rasa pedaya - tukar kedai.
    • Cepat mengesan muslihat.
    • Tidak suka digesa membeli.


Pengguna Bijak:

  • Membeli barangan berkualiti.
  • Membuat perbandingan harga.
  • Memilih perkhidmatan terbaik.
  • Membuat pilihan yang tepat.


Bijak Berbelanja:

  • Buat senarai sebelum berbelanja.
  • Bandingkan harga barang sebelum membeli.
  • Membeli setelah tawar-menawar.
  • Beli bahan tidak mudah rosak secara pukal.
  • Beli barangan perlu, bukan mengikut nafsu.
  • Amalkan sikap berjimat-cermat.


Taktik Perniagaan

  • Susun atur barangan:
    • Barangan keperluan rumah, harga mahal diletakkan setentang dengan mata.
    • Meletakkan barangan mudah dicapai di kaunter pembayaran.
  • Tarikan harga dan diskaun:
    • Menawarkan harga terbaik untuk barangan yang terhad.
    • Potongan harga diberikan dengan tanggapan harga tawaran terendah dari harga biasa.
  • Memandu pergerakan pengguna:
    • Meletakkan barang keperluan jauh ke dalam.
    • Meletakkan tanda arah/ tapak kaki..
  • Pengaruh muzik dan haruman:
    • Pengguna berasa selesa.
    • Terpengaruh untuk menghabiskan masa di sesebuah kedai.


Tindakan Bijak

  • Bijak Pakai:
    • Jangan terlalu terpengaruh dengan fesyen terkini.
    • Jangan hanya membeli pakaian berjenama.
    • Kitar semula pakaian lama.
    • Guna kain lampin dan bukan lampin pakai buang.
  • Bijak Makan:
    • Tanam sayur-sayuran dan buah-buahan.
    • Makan buah-buahan tempatan.
    • Makan buah-buahan pada musimnya.
    • Hentikan tabiat merokok.
    • Sediakan bekalan untuk ke sekolah/ pejabat.
    • Jimatkan makanan berlebihan daripada membuangnya.
    • Kurangkan makan di luar, masak sendiri di rumah.
  • Bijak Guna Tenaga:
    • Tutup lampu, kipas dan pendingin udara apabila tidak digunakan.
    • Jangan biarkan peti sejuk terlalu dingin.
    • Perbaiki kebocoran paip.
    • Amalkan kitar semula.
    • Kumpul air hujan untuk kegunaan harian.
  • Bijak Atur Perjalanan:
    • Selaraskan enjin dengan betul.
    • Pastikan tekanan tayar sesuai.
    • Memandu pada kelajuan konsisten.
    • Berjalan bagi jarak perjalan yang dekat.
    • Gunakan pengangkutan awam.
  • Bijak berhibur/ bercuti:
    • Melayan rakan-rakan di rumah.
    • Pilih kaedah pengangkutan paling murah.
    • Bercuti di luar musim puncak.
    • Bercuti di dalam negara.

Wednesday, April 14, 2010


KUASA PENGGUNA - "1 PENGGUNA, 1 SUARA" Cetak

KUASA PENGGUNA
"1 PENGGUNA, 1 SUARA"

"Kuasa Pengguna" ditakrifkan sebagai pengguna mampu mempengaruhi dan menentukan harga serta penawaran barangan dan perkhidmatan dalam pasaran yang kompleks. Melalui kuasa yang ada pada mereka, mereka boleh mencorakkan pola permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan tersebut. Pengguna juga berkuasa memastikan penipuan, penyelewangan dan penindasan oleh peniaga tidak berlaku sewenang-wenangnya melalui peningkatan pengetahuan, memperkuatkan jati diri, mengetahui dan mengamalkan hak mereka sebagai pengguna.

Kuasa Pengguna dapat diperlihatkan melalui :

Pengguna menentukan pasaran
• Pengguna bersatu menuntut hak
• Sebulat suara dalam tindakan


‘1 Pengguna' bermaksud pengguna perlu bertindak secara bersepadu dalam satu masyarakat pengguna yang kuat dan membentuk ‘ satu pengguna' yang bergerak seiring secara efektif dan mewakili satu golongan yang kuat dan disegani. Pengguna juga mempunyai hak yang sama tanpa mengira latar belakang mereka dan hak ini perlu dihormati.


‘1 Suara' membawa maksud setiap pengguna perlu bertindak secara bersepadu untuk menegakkan amalan dan nilai kepenggunaan yang bersifat sejagat. Ini bermakna pengguna perlu bertindak sebagai satu entiti yang bermatlamat untuk mencapai suatu kehendak dan hak yang sama melalui penglibatan secara berkumpulan sama ada dalam organisasi-organisasi dan persatuan-persatuan.

Tanggungjawab Pengguna:

Kesedaran Mengkritik

Pengguna mestilah disedarkan supaya mengkritik tentang mutu dan nilai sesuatu barangan dan perkhidmatan.

Penglibatan dan Tindakan

Pengguna harus sentiasa melibatkan diri dengan kegiatan-kegiatan sosial yang menjamin kepentingan pengguna.

Tanggungjawab Sosial

Pengguna mesti bertindak dengan penuh tanggungjawab sosial. Amalkan sikap mengambil berat tentang persekitaran dan membuat apa yang perlu jika ada yang tidak kena, walaupun diri anda tidak terlibat secara langsung.

Tanggungjawab Alam Semulajadi

Pengguna perlu mempunyai kesedaran yang tinggi atas keputusan pengguna mengenai alam sekitar yang mesti dimajukan secara harmoni.

Bersatu Padu

Tindakan yang paling berkesan bagi menghadapi sesuatu masalah ialah dengan semangat bekerjasama dan bersatu padu.

(dipetik dari laman web pengguna bijak)